Tajuk

Translate

Tuesday 9 February 2016

Sistem dan Struktur Pentadbiran Negara

Sumber dari http://hamdanmendan.blogspot.my/2010/03/sistem-struktur-pentadbiran-negara-satu.html?m=1


   Sesebuah Negara yang merdeka dan berdaulat mempunyai sistem dan struktur pentadbiran Negara yang tersendiri. Sebagai contoh Malaysia, Singapura, Jepun, Amerika dan lain-lain.

  Negara  Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen. Bagi Malaysia sistem dan struktur bernegaranya agak unik. Sungguhpun malaysia mempunyai warisan sistem beraja yang kukuh dan masih lagi dipertahankan sehingga sekarang, namun hakikatnya ialah ‘rakyat yang memerintah’. Ini bermaksud rakyat berkuasa membentuk kerajaan. Proses sebegini dilakukan menerusi pilihanraya dimana rakyat akan memilih wakil-wakil ahli parlimen yang seterusnya akan membentuk kabinet. Kabinet atau Jemaah menteri ini adalah kerajaan yang memerintah.

    Namun begitu, raja dan kerabat diraja tidak diketepikan. Malahan kedudukan mereka diperkukuhkan lagi menerusi institusi raja berperlembagaan dan majlis raja-raja yang masing-masing mempunyai sistem dan peranan yang telus. Institusi-institusi ini bersama-sama menyokong corak pemerintahan demokrasi.  Walaupun sistem pemerintahan Negara kita agak kompleks tetapi ia masih bersifat sistematik. Terdapat dua peringkat pemerintahan dalam struktur pemerintahan pentadbiran Negara kita iaitu pemerintahan di peringkat persekutuan yang diterajui oleh kerajaan pusat menerusi kabinet manakala diperingkat negeri pula diuruskan oleh kerajaan negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Inilah corak pemerintahan-pemerintahan  kerajaan  Malaysia sebagai sebuah Negara persekutuan dimana kerajaan pusat dan kerajaan negeri mempunyai bidangkuasa masing-masing seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Sebagai undang-undang tertinggi Negara, perlembagaan juga memaktubkan bidangkuasa-bidangkuasa yang dikongsi bersama antara dua peringkat kerajaan tersebut yang seterusnya mengekalkan hubungan baik di antara dua pihak.

   Menerusi bidangkuasa inilah kerajaan-kerajaan negeri mentadbir negeri masing-masing dengan struktur yang hampir sama dengan peringkat persekutuan dari tahap negeri, daerah hingga ke tahap kampung. Setiap peringkat mempunyai jentera pentadbiran, jabatan-jabatan negeri dan kerajaan tempatan yang melaksanakan peranan tertentu bagi menjamin kelicinan pengurusan pada peringkat bawahan.

   Amalan pengasingan kuasa antara tiga badan utama iaitu badan perundangan , pentadbiran dan kehakiman yang dipraktikkan secara baik di peringkat pusat atau kerajaan negeri yang diamalkan selama ini berasaskan perlembagaan sesungguhnya telah mengukuhkan dan melicinkan lagi urusan pemerintahan pentadbiran Negara semenjak merdeka. Tambahan, saling hormat menghormati bidangkuasa masing-masing merupakan prinsip yang tiada tolok bandingnya dalam sesebuah Negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen seperti yang diamalkan di Malaysia.